25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pasangan kekasih miliki pistol, dadah ditangkap di hotel bajet

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEPASANG kekasih berusia 23 dan 25 tahun ditahan di sebuah hotel bajet di bandar Kuantan, Pahang dipercayai terbabit dengan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, serbuan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 tengah hari, 13 Januari lalu.

“Susulan daripada tangkapan terbabit, polis menyerbu sebuah bilik sewa di Panching, di sini, pada hari sama.

“Hasil serbuan, polis merampas ganja seberat hampir dua kilogram, syabu (279.1 gram) dan pil yaba (14.35 gram) serta sepucuk pistol model Zoraki M 906-TD bersama lima butir peluru.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan pistol dianggarkan berjumlah RM41,635 manakala jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan untuk 1,525 penagih,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

Ujar Wan Zahari lagi, siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai aktif dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di sekitar daerah ini sejak awal tahun lalu.

Menurutnya, polis turut menyita sebuah Proton Iriz bernilai RM32,800 serta wang tunai RM1,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kes sebanyak RM75,435.

Advertisements

“Kedua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39 A(1) ADB serta Seksyen 12(2) akta sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

“Manakala suspek lelaki berusia 25 tahun itu turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan,” katanya.

Katanya, kedua suspek direman selama tujuh hari bermula 14 Januari lalu bagi membantu siasatan.

“Kita masih menyiasat dari mana suspek memperoleh pistol berkenaan dan tujuan dia memilikinya selain tidak menolak kemungkinan masih ada saki-baki ahli kumpulannya yang lain.

“Selain itu kita juga masih menyiasat adakah suspek menjadikan hotel bajet berkenaan sebagai tempat menjalankan operasi atau hanya untuk berehat,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan