36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Mayat lelaki ditemukan terapung dalam bekas lombong

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MAYAT seorang lelaki ditemukan terapung dalam bekas lombong berhampiran tapak projek MCT Cybersouth Dengkil, petang tadi.

Mayat lelaki yang lengkap berpakaian dan tidak diketahui identiti itu ditemui seorang saksi yang sedang memancing di tepi lombong kawasan itu pada pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, saksi mendakwa telah melihat mayat itu dalam jarak kira-kira 300 meter, sebelum menghubungi Balai Polis Dengkil untuk tindakan selanjutnya.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil telah membantu mengangkat mayat ke tebing lombong tersebut.

“Mayat dianggarkan berketinggian lebih kurang 180 sentimeter dan bertubuh gempal dan disyaki warga asing kerana tiada tanda suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa juga dipercayai telah meninggal dunia sejak tiga hari yang lalu berdasarkan keadaan tubuh badannya yang telah lebam dan menggelembung serta kulit menggelupas.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan lombong seluas kira-kira 10 ekar juga tidak menjumpai kenderaan yang digunakan oleh mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kawasan lombong itu juga tidak berpagar dan boleh diakses secara bebas.

“Kawasan lombong ini merupakan tumpuan orang ramai untuk memancing,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, hasil pemeriksaan forensik mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan