KUNJUNGAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura telah memperkukuhkan lagi hubungan akrab sekali gus memberi peluang meneroka kerjasama baharu kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, kunjungan itu mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Singapura termasuk jalinan antara rakyat yang erat serta hubungan ekonomi yang kukuh.
Anwar turut memaklumkan telah menemui Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong selepas mengadakan kunjung hormat kepada Presiden republik itu, Halimah Yaacob.
“Mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Singapura Halimah Yacob di Istana bersama delegasi Malaysia.
“Saya kemudiannya turut mengadakan pertemuan empat mata dengan PM Lee.
“Pertemuan ini memberi peluang kepada kami untuk meneroka bentuk kerjasama bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

“Kami turut berpeluang membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” katanya di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Anwar tiba di Singapura kira-kira jam 11 pagi tadi dan terus memulakan kunjungan rasmi ke Istana Singapura.
Ketibaan beliau dan delegasi Malaysia diraikan dengan sambutan rasmi dengan lagu ‘Negaraku’ dimainkan diikuti lagu kebangsaan Singapura, ‘Majulah Singapura’. – Edisi 9