31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

LHDN pecah rekod kutipan hasil cukai lebihi sasaran RM139 bilion

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya merekodkan pencapaian luar biasa hasil cukai pada 2022, menjadikannya kutipan terbesar dalam sejarah.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pencapaian itu juga dijangka mengatasi sasaran yang ditetapkan bagi 2022 iaitu RM139 bilion, dengan prestasi pada tiga bulan terakhir tahun lalu menjadi penyumbang utama.

Menurut beliau, 2022 adalah tahun paling cemerlang kepada LHDN daripada segi kutipan cukai, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai agensi nombor satu penyumbang kepada hasil negara selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Satu angka yang terbaik pernah direkodkan namun jumlah sebenar akan diumumkan oleh Menteri Kewangan (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) nanti. 2022 adalah tahun paling cemerlang kepada LHDN dari segi kutipan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat LHDN di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarah LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi.

Mengulas prestasi itu, Ahmad berkata, kecekapan kutipan hasil secara langsung akan turut menambahkan hasil negara selain melaksanakan pelbagai langkah dan kaedah seperti menangani ekonomi bayangan.

“Aktiviti ekonomi bayangan dianggarkan menyumbang sekitar 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kita mampu bakal memperolehi kutipan cukai tambahan RM70 bilion atau 20 peratus daripada RM350 bilion setahun hasil aktiviti ekonomi bayangan,” katanya.

Ahmad berkata, jumlah rakyat yang aktif membayar cukai juga adalah tinggi iaitu seramai tiga juta orang, manakala bagi perniagaan pula sekitar 400,000.

Beliau berkata, hasil negara yang datangnya daripada hasil cukai langsung dan tidak langsung adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan negara.

Menurutnya, kepentingan cukai langsung kepada ekonomi Malaysia adalah besar kerana hasil yang dikutip dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan negara dan dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk subsidi, infrastruktur serta pakej bantuan.

“Oleh yang demikian, kerajaan amat menitikberatkan prestasi serta kemampuan LHDN dalam melaksanakan tanggungjawab ini kerana berdasarkan statistik yang direkodkan, kutipan cukai langsung menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah pendapatan negara.

“Sudah semestinya angka ini menunjukkan hampir separuh pendapatan negara dijana melalui kutipan cukai langsung ini,” katanya.

Berikutan prestasi kukuh kutipan cukai langsung, Ahmad berkata, masih tiada perbincangan diadakan oleh kerajaan untuk memperkenalkan cukai baharu, termasuk mengembalikan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa sekarang.

“Tiada perbincangan mengenainya (cukai baharu) sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, tetapi negara perlu menambahkan hasil melalui pelbagai kaedah yang kreatif,” katanya.

Untuk rekod, kutipan cukai LHDN pada 2021 meningkat sebanyak 17 peratus kepada lebih RM140 bilion berbanding 2020, menyumbang hampir separuh daripada jumlah pendapatan negara ketika itu.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan