25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Lebih 15,000 restoran tawar menu Rahmah RM5 mulai hari ini

Menerusi inisiatif itu diharap tiada lagi golongan sasar yang tidak mampu membeli makanan di restoran.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

LEBIH 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40, mulai hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan memastikan golongan B40 khususnya mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.

Menurut beliau, menerusi inisiatif itu, diharap tiada lagi golongan sasar yang tidak mampu membeli makanan di restoran.

“Lebih 15,000 restoran daripada tujuh persatuan pengusaha makanan dan minuman memberi komitmen mereka untuk menyediakan Menu Rahmah di premis masing-masing.

“Saya harap selepas ini, dapatlah golongan ini membeli makanan dan tidak lagi kelaparan kerana tidak mampu membeli makanan di restoran,” katanya selepas Majlis Pelancaran Menu Rahmah di Subang Jaya, Selangor, hari ini.

Ujar Salahuddin lagi, pihaknya juga pasti golongan yang berkemampuan tidak akan mengambil kesempatan memilih Menu Rahmah kerana mampu membeli sajian lain.

Advertisements

Terdahulu, Salahuddin membuat tinjauan harga barangan di Pasar Raya Mydin di Subang Jaya dan beliau berpuas hati dengan kualiti serta harga barangan yang dijual.

“Rata-rata, kita lihat rakyat bijak memilih barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan sebelum membeli,” katanya.

Beliau turut meninjau bekalan telur dan minyak masak bersubsidi di pasar raya itu.

“Pihak pengurusan Mydin ada mencadangkan supaya subsidi bersasar diberi secara terus kepada pengguna kerana cara itu lebih menguntungkan rakyat.

“Kementerian akan mengkaji cadangan ini sebelum membuat apa-apa keputusan mengenainya. Dalam tinjauan ini juga, rakyat memberi maklum balas positif, namun masih mengharapkan bantuan kerajaan untuk mengawal harga barangan dan menampung kos sara hidup,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan