31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

UMNO jumpa ROS usul tiada pemilihan dua jawatan tertinggi

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

UMNO telah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi memberi penjelasan terperinci mengenai usul tambahan dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu nanti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pertemuan itu dihadiri beliau bersama tiga ahli parti di Ibu Pejabat ROS di Putrajaya, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Menurutnya, pihaknya membawa dokumen disediakan peguam dan memberi penjelasan kepada Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Nawardi Saad.

“Saya menyatakan bahawa tiada sebarang pelanggaran peraturan mesyuarat atau perlembagaan UMNO berkaitan usul itu.

“Lebih 90 peratus perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung itu bersetuju dengan usul nombor lapan iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini.

Ujar Ahmad lagi, beliau sudah menjawab segala pertanyaan daripada pasukan ROS itu dengan rapi dan sebaik mungkin.

“Semua jawapan itu berdasarkan peraturan dan perlembagaan sedia ada UMNO.

“Sesi pertemuan dan perbincangan berkenaan berjalan dengan baik serta profesional antara kedua-dua pihak,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan menyerahkan dokumen tambahan kepada ROS pada Khamis ini untuk diteliti lanjut.  

Sebelum ini, Ahmad dilaporkan berkata, beliau bersama peguam parti itu akan mengadakan pertemuan dengan ROS dalam waktu terdekat.

Difahamkan, pertemuan itu bagi menjelaskan intipati dan proses Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Malah, dua ahli UMNO turut menghantar aduan kepada ROS supaya jabatan itu meneliti kesahihan usul tambahan jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO yang dibawa pada PAU baru-baru ini.

Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom mendakwa usul itu melanggar Perlembagaan parti. 

-EDISI9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan