29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kedai makan dicadang perkenal Menu Rahmah bawah RM5

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencadangkan supaya kedai-kedai makan dapat memperkenalkan Menu Rahmah dengan harga bawah RM5.

Langkah itu adalah sebagai usaha untuk membantu golongan yang memerlukan.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menu Rahmah yang terdiri daripada nasi, ayam atau ikan dan sayur itu dijangka mendapat persetujuan daripada beberapa persatuan kedai makanan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dalam masa terdekat.

“Nampaknya setakat ini, semua persatuan bersedia untuk mewujudkan menu tersebut yang dinamakan Menu Rahmah. Kami akan mengumumkan MoU dalam masa terdekat dengan pengusaha kedai makan termasuk kedai tom yam.

“Saya harap peranan kementerian sedikit sebanyak dapat membantu rakyat dalam mendepani kos sara hidup,” katanya selepas melakukan tinjauan di beberapa kedai makan di Bandar Baru Bangi, Selangor hari ini.

Beliau berkata, kesemua premis makanan yang dikunjungi tidak mempamerkan harga makanan.

Bagaimanapun, tiada saman atau tindakan undang-undang dikenakan, sebaliknya hanya nasihat atau panduan diberi pihaknya kepada pemilik-pemilik premis sebagai permulaan.

“Kita tidak mahu mengambil pendekatan undang-undang. Kita elak daripada menyaman tetapi saya berharap premis-premis ini dapat mematuhi peraturan,” katanya.

Melalui Ops Menu 3.0 yang bermula sejak 23 Januari lalu, sebanyak 614 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara setakat 26 Januari bagi memantau dan menangani isu harga makanan bermasak.

Daripada jumlah tersebut, pihak kementerian telah mengambil tindakan terhadap sembilan kes membabitkan peniaga yang melakukan kesalahan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya pengguna ‘memulaukan’ kedai yang didakwa mengenakan harga yang tinggi, Salahuddin menggambarkan saranan itu telah disalah tafsir atau berlaku miscommunication.

“Saya rasa ianya miscommunication, bukan boikot, tetapi ini bermakna, pendidikan kepada pengguna itu penting,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan