31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Golongan miskin bertambah, kerajaan perlu segera bantu – Muhyiddin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap agar kerajaan dapat segera melaksanakan langkah-langkah untuk meringankan beban kehidupan rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, langkah itu penting lebih-lebih lagi dalam menghadapi suasana ekonomi yang dijangka lebih mencabar pada tahun 2023.1.1

“Golongan yang miskin semakin bertambah akibat kesempitan hidup. Lebih 60 peratus penduduk negara kita sebenarnya tergolong dalam kumpulan miskin dan berpendapatan rendah.

“Mereka memerlukan pembelaan segera daripada kerajaan.

“Saya menggesa supaya Perdana Menteri segera memberi tumpuan kepada perkara penting ini menerusi langkah-langkah yang mesti diputuskan oleh Majlis Kos Sara Hidup Kebangsaan dan dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya dalam Facebook malam tadi.

Selain itu, Muhyiddin juga mengingatkan semua pihak untuk menjaga diri dan kesihatan terutamanya dalam keadaan jangkitan Covid-19 yang masih berlaku di dalam komuniti.

“Saya berharap kerajaan dapat mengambil langkah-langkah segera untuk memastikan rakyat selamat daripada jangkitan varian baharu Covid-19 yang dikesan di beberapa buah negara.

“Saya ingin menasihatkan supaya anda semua sentiasa mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung cara-cara untuk menghindari jangkitan Covid-19, termasuk keperluan untuk mengambil suntikan dos penggalak,” katanya.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga negara kita dilindungi daripada sebarang musibah dan kita semua dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman, selamat dan sejahtera.

Dalam pada itu, sempena sambutan tahun baharu, Muhyiddin menyedari dalam tempoh setahun dua yang lalu, ramai mengalami kesukaran hidup akibat pandemik yang melanda negara.

“Hari ini pun masih ramai yang sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup yang tinggi dan permasalahan lain yang membelenggu.

“Namun, kita tidak boleh lemah semangat atau putus asa. Kini masanya untuk kita bingkas bangun semula dengan lebih tangkas.

“Saya percaya dalam tempoh pemulihan ini peluang ada di mana-mana untuk kita memajukan diri dan keluarga asalkan kita sanggup berusaha.  Insya-Allah, selagimana ada kemahuan, di situ ada jalan,” katanya.

Menurutnya, perjalanan hidup beliau juga tidak selalunya senang.

“Saya sendiri sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah s.w.t buat diri saya dan keluarga. Banyak cabaran dan dugaan yang dihadapi. Semua liku-liku hidup yang dilalui itu sebenarnya mendewasakan kita.

“Segala kesukaran yang kita alami semalam menjadi bekalan untuk memperkuatkan semangat menghadapi hari esok dengan lebih berjaya. Yang penting jangan putus asa dalam menggapai impian kita.

“Terutama sekali anak-anak muda yang masih mempunyai perjalanan hidup yang jauh. Yakinlah dengan potensi diri dan sentiasalah berusaha untuk memperbaiki pencapaian anda. The sky is your limit. You can achieve anything if you want to.

“Sempena Tahun Baharu 2023, saya dan keluarga mendoakan semoga anda semua diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan dalam mengejar azam dan impian masing-masing,” ujarnya.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan