GEDUNG tekstil terkemuka, Wisma Jakel cawangan Shah Alam, Selangor hampir musnah dalam kejadian kebakaran pagi ini.
Kebakaran itu memusnahkan bahagian dalam bangunan lot kedai tiga tingkat yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada pukul 7.08 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan satu lot kedai tiga tingkat yang sedang terbakar 80 peratus.
“Api berjaya dikawal dalam tempoh satu jam dan bahagian dalam kedai didapati musnah dalam kebakaran ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau lagi, pasukan bomba kini dalam tindakan pemadaman bara api di bawah timbunan kain.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit setakat ini dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.
-EDISI9