26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Gedung Apple Store pertama Malaysia cari pekerja tempatan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

APPLE Inc memulakan pengambilan pekerja untuk pembukaan gedung Apple Store pertamanya di Malaysia.

Syarikat terbesar di dunia dengan nilai permodalan pasaran AS$2.6 trilion itu mula memuat naik status pencarian pekerja baharu di Malaysia di laman sesawangnya.

Pengeluar telefon iPhone itu menawarkan 11 peluang pekerjaan untuk diisi oleh warga tempatan termasuk jawatan Pengurus, Pengurus Kanan, Ketua Stor, Pakar Operasi, Pro Perniagaan, Pakar Perniagaan, Genius, Kreatif dan Pengkhususan.

Memetik laporan Bloomberg, penyenaraian tawaran kerja itu menunjukkan bahawa jawatan berkenaan adalah untuk gedung runcit milik Apple sendiri, bukan oleh penjual pihak ketiga yang lama beroperasi di Malaysia.

Langkah itu akan mengukuhkan kehadiran Apple di Asia Tenggara, yang sudah mempunyai gedung rasmi sendiri di Thailand dan Singapura.

Syarikat itu juga baru-baru ini mula mempromosikan penyenaraian pekerjaan untuk lokasi pertamanya di India, yang dirancang selama beberapa tahun.

Penyenaraian tawaran kerja itu tidak menunjukkan lokasi gedung pertama Apple di Malaysia, namun difahamkan terdapat laporan bahawa Tun Razak Exchange (TRX) sedang berbincang membuka gedung pertama itu di kawasan pembangunan seluas 70 ekar berkenaan.

Apple tidak melaporkan hasil jualan mengikut negara, tetapi syarikat itu menjana lebih daripada AS$29 bilion (RM123.9 bilion) daripada segmen Asia-Pasifik, termasuk Greater China dan Jepun, tahun fiskal lalu.

Syarikat yang berpangkalan di Cupertino, California itu sudah pun mengendalikan kedai dalam talian di Malaysia.

Apple memulakan rangkaian runcitnya hampir 22 tahun lalu dan kini mempunyai lebih daripada 500 gedung di seluruh dunia, dengan majoritinya terletak di Amerika Syarikat (AS).

Kali terakhir syarikat itu meluaskan pengembangan antarabangsa ialah pada 2018 dengan lokasi di Bangkok.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan