PERBICARAAN peringkat pembelaan kes Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down dikenali Bella, yang bermula minggu depan akan membabitkan 16 saksi termasuk tertuduh.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Izralizam Sanusi, berkata senarai itu membabitkan 11 saksi pembelaan, termasuk Siti Bainun yang juga pengasas Rumah Bonda, empat saksi ditawarkan oleh pendakwaan dan seorang saksi pendakwaan yang dipanggil semula selepas memberi keterangan di peringkat pendakwaan.
Memetik laporan Berita Harian, pembelaan memohon untuk memanggil semula tiga saksi pendakwaan namun hanya seorang dibenarkan iaitu Asisten Superintendan Rohaini Baharom dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).
Izralizam berkata, pihak pembelaan membuat permohonan untuk memangil semula saksi pendakwaan pada 7 Disember lalu, mengikut Seksyen 173 Kanun Tatacara Jenayah dan mahkamah meminta senarai saksi lengkap itu dua hari kemudian sebelum pembelaan memuktamadkan senarai tersebut serta alasan pada 21 Disember lalu.
Beliau berkata, pihak pembelaan juga memohon untuk memanggil bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood selaku saksi utama kerana mahu mengesahkan keterangannya ada kredibiliti dan konsisten, tetapi ditolak.
“Alasan diberikan untuk panggil saksi pendakwaan ke-20 (Rohaini) berkaitan keterangan saksi pendakwaan ke-21 dan ke-22. Alasan itu kukuh dan wajar untuk Rohaini dipanggil semula.
“Keterangan pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur, pula dikatakan perlu untuk mengesahkan keterangan doktor yang lain.
“Saya berpendapat tiada keperluan memanggilnya kembali selepas memaklumkan pendirian dan diagnosis keadaan Bella yang akan diputuskan mahkamah,” katanya.
Siti Bainun diarah membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, di antara Februari hingga Jun 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu perbicaraan bela diri oleh Siti Bainun dilaporkan akan bermula Isnin depan mengikut jadual.
Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Collin Lawrence Sequerah, hari ini, yang membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan pengasas Rumah Bonda itu untuk menyemak pertuduhan berkenaan.
Sequerah berkata, keputusan berkenaan sekali gus membawa kepada penolakan permohonan itu, yang dibuat menerusi notis usul.
Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan tarikh perbicaraan bela diri Siti Bainun selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari ini, diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari dan 6 hingga 10 serta 27 hingga 30 Mac 2023.