25 C
Kuala Lumpur
Friday, December 1, 2023

Permohonan Siti Bainun tangguh hukuman penjara ditolak

Mesti Baca

PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini gagal dalam cubaan kali kedua untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down, dikenali sebagai Bella.

Siti Bainun, 31, memohon untuk penggantungan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Siti Bainun selaku pemohon selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman itu. 

“Setelah meneliti afidavit dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan isu-isu dihujahkan oleh peguam pemohon tidak dapat menunjukkan keadaan khas atau luar biasa yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonannya.

Pemohon juga telah disabitkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen dan hakim itu juga telah menolak permohonan serupa dengan alasan-alasan yang mahkamah ini bersetuju dengan hakim itu,” katanya hari ini.

Pada 3 Mei lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Siti Bainun dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara itu.

Sementara itu, Ahmad dalam penghakimannya berkata, Siti Bainun menyatakan bahawa dia menghadapi masalah kesihatan seperti asma, sakit hempedu dan ‘gerd’, namun tiada laporan pakar dikemukakan sedangkan beban pembuktian terletak kepada pemohon.

“Apa yang ada adalah laporan perubatan biasa bertarikh 6 Disember 2022, surat kemasukan pemohon ke hospital pada 28 November 2022 dan gambar hidung serta bibirnya tidak dapat membantu mahkamah.

Namun, pihak responden (pendakwaan) memfailkan afidavit jawapan Pegawai Perubatan di Klinik Penjara Wanita Kajang, Dr. S. S. Sunita yang mengendalikan pemeriksaan kesihatan pemohon dan mendapati pemohon dalam keadaan stabil, tidak mengalami apa-apa komplikasi kesihatan serta tidak mempunyai masalah kesihatan serius,” kata hakim itu. – BERNAMA

Terkini

KKM rekod lima kes baharu cacar monyet

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) merekodkan lima kes baharu jangkitan cacar monyet dalam tempoh 31 Oktober hingga semalam, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan...

Lagi Artikel Berkaitan