SEBANYAK lapan jenis barangan akan dikawal di bawah skim harga maksimum musim perayaan (SHMPP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pada akhir bulan ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, SHMMP bagi Pesta Kaamatan berkuat kuasa 27 Mei sehingga 2 Jun sementara Hari Gawai (29 Mei hingga 4 Jun).
Katanya, tempoh pelaksanaan skim tersebut adalah selama tujuh hari, tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.
“KPDN telah mengenal pasti sebanyak lapan jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim ini.
“Selain itu, enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur sedang dikawal di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari.
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan skim ini ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti cuaca, ekonomi global, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan permintaan serta penawaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Barangan di bawah SHMPP ketika Pesta Kaamatan adalah kepak ayam, cili kering leper, daging kerbau import (India), bawang kecil merah (India), bawang putih (China), babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
Bagi Hari Gawai pula, kawalan melibatkan lapan barangan termasuk ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih (China), kubis bulat import, ubi kentang import (China), babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
Sementara itu, KPDN berkata, analisa dan pemantauan semasa mendapati sekiranya barangan tersebut tidak di kawal, harga barangan tersebut akan berada di paras harga yang lebih tinggi.
“Ini akibat daripada peningkatan permintaan menjelangnya perayaan, semasa perayaan dan selepas perayaan.
“SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat,” ujarnya. – Edisi 9