Thursday, July 23, 2026

‘Segulai Sejalai’ jadi pandu arah Malaysia Madani – Anwar

Usaha membina negara yang adil, makmur dan bersatu memerlukan seluruh rakyat berganding bahu tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memperkasa Sarawak sebagai nadi penting pembangunan negara, sejajar dengan semangat perpaduan dan nilai “Segulai Sejalai” yang diamalkan rakyat negeri itu.

Dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Sambutan Hari Gawai di Kuching, Sarawak malam tadi, Anwar berkata, kehadirannya bukan sekadar memenuhi undangan, sebaliknya sebagai tanda penghargaan terhadap kekayaan budaya dan semangat kebersamaan rakyat Sarawak.

“Di tengah-tengah kepelbagaian kaum dan budaya, rakyat Sarawak terus mempamerkan semangat perpaduan yang menjadi teras kekuatan sebenar Malaysia,” katanya sambil menyifatkan nilai “Segulai Sejalai” sebagai prinsip penting dalam pentadbiran negara kini.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut Anwar, usaha membina negara yang adil, makmur dan bersatu memerlukan seluruh rakyat berganding bahu tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

Anwar Ibrahim berucap majlis makan malam Sambutan Hari Gawai 2025 di Kuching, Sarawak.

Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak yang diterajui Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menjayakan agenda inklusif demi kesejahteraan bersama.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga utama serantau menerusi projek ASEAN Power Grid, di samping menyelesaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara tuntas dan adil.

“Ini bukan sekadar janji politik, tetapi tanggungjawab bersama demi menjamin masa depan yang lebih cerah buat Sarawak dan Malaysia keseluruhannya,” tegas beliau.

Majlis turut diserikan dengan persembahan budaya dan kehadiran pelbagai pemimpin tempatan serta wakil masyarakat pelbagai kaum yang menyambut perayaan Gawai dalam suasana penuh muhibah. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan