Sunday, July 19, 2026

CAFA 2025 medan Harimau Malaya uji taring lawan gergasi

Kejohanan itu bakal menghimpunkan lapan pasukan gergasi Asia Tengah termasuk Iran dan Uzbekistan iaitu dua pasukan yang sudah mengesahkan slot ke Piala Dunia 2026.

Mesti Baca

SKUAD Harimau Malaya bakal berdepan ujian getir apabila menerima jemputan menyertai CAFA Nations Cup 2025 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada 26 Ogos hingga 9 September ini.

Kejohanan itu bakal menghimpunkan lapan pasukan gergasi Asia Tengah termasuk Iran dan Uzbekistan iaitu dua pasukan yang sudah mengesahkan slot ke Piala Dunia 2026.

Penyertaan Malaysia dalam kejohanan itu dianggap satu penghormatan besar, selain membuka peluang buat skuad kendalian Peter Cklamovski untuk menguji kekuatan di pentas lebih mencabar menjelang kempen Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.

Menurut Cklamovski, kejohanan berprestij itu bukan sekadar aksi persahabatan, sebaliknya medan sebenar untuk menilai kemajuan skuad negara yang kini giat membina semula reputasi sebagai kuasa bola sepak Asia Tenggara.

“Kami akan berdepan pasukan hebat di tempat lawan dan dalam suasana yang mencabar. Ia bukan sahaja menguji dari segi taktikal dan fizikal, tetapi juga mental pemain.

“Pengalaman ini akan menguji kami dalam pelbagai aspek, di dalam dan di luar padang, dan ia amat penting untuk pembangunan berterusan skuad kebangsaan.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) itu akan menjadi pentas penting buat pemain negara menimba pengalaman menentang barisan pemain bertaraf dunia.

Selain Malaysia, antara pasukan yang bakal bersaing termasuk Tajikistan, Kyrgyzstan, Afghanistan, Turkmenistan dan Oman selain dua wakil utama iaitu Iran dan Uzbekistan.

Cklamovski dijangka memanggil barisan terbaik termasuk beberapa pemain muda yang sedang meningkat naik dalam Liga Malaysia, selaras dengan pendekatan pembangunan jangka panjang skuad kebangsaan.

Misi bermula, Harimau bersedia mengaum! — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan