CUBAAN seorang lelaki tempatan menyeludup keluar empat ekor haiwan eksotik dipercayai spesies ungka tangan hitam berjaya dipatahkan hasil kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kejadian berlaku pada 20 Jun lalu apabila pasukan penguat kuasa menjalankan pemeriksaan rutin di Zon Pemeriksaan H2R Hammerhead, Terminal 1 KLIA, membabitkan penerbangan Batik Air OD0215 ke Mumbai, India yang dijadualkan berlepas pada jam 8.55 malam.
Hasil pemeriksaan terhadap salah satu bagasi penumpang telah menemui empat ekor haiwan yang disyaki ungka tangan hitam (hylobates agilis) yang disembunyikan secara tidak sah.
Suspek, seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 34 tahun, ditahan serta-merta di lokasi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Aeropolis bagi siasatan lanjut.
Haiwan berkenaan, yang dianggarkan bernilai RM30,000, telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

Kejayaan ini merupakan hasil pemeriksaan bersepadu yang diperketatkan sejak 1 Jun lalu di laluan udara berisiko tinggi, hasil kerjasama strategik antara AKPS, AVSEC dan PERHILITAN.
Ketiga-tiga agensi tersebut menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kawalan di pintu masuk negara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penyeludupan hidupan liar, khususnya spesies terancam. — Edisi 9

