30.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Tragedi Batang Kali: SAR guna jentera berhati-hati, elak terkena mayat

Setakat pagi ini, seramai 24 mangsa disahkan terkorban dan sembilan lagi masih hilang manakala 61 berjaya diselamatkan dalam kejadian dilapor membabitkan seramai 94 orang.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MISI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali, Selangor dilaksanakan secara berhati-hati.

Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, langkah berkenaan adalah bagi mengelak  jentera pengorek (excavator) terkena mayat.

Menurut beliau, proses menggali dan mengorek tanah menggunakan jentera berkenaan juga dijalankan secara berperingkat serta perlahan selain terdapat pasukan penyelamat yang akan memberikan panduan dan arahan penggalian dilakukan.

“Pasukan penyelamat akan memerhatikan pergerakkan pengaut. Dia akan korek secara pelahan-lahan dan juga penggalian tak secara dalam untuk elak terkena (mayat).

“Tarikan tanah secara pelahan. Macam kes semalam, bila kita korek, kita nampak selepas itu tangan (mangsa) terkeluar…,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah.

Mengulas lanjut, Norazam berkata, operasi membabitkan lima agensi utama itu dibantu dengan penggunaan lapan excavator bagi kerja pengorekan dan mengalihkan runtuhan tanah.

“Kaedah itu digunakan bagi mengalihkan tanah awalan iaitu tanah runtuhan dengan kedalaman kira-kira 0.9 meter hingga 1.2 meter di Sektor A dan Sektor C.

“Selepas itu, kita akan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan mangsa yang kemungkinan berada di kawasan runtuhan. Ini bagi mengelak ada anggota badan mangsa yang tertimbus terkena ‘bucket’ excavator,” katanya.

Dalam pada itu, Norazam berkata, misi hari ini membabitkan penggunaan alat pengesan berteknologi tinggi yang dapat mengesan badan manusia.

“Alat pengesan jenis ‘Ground Penetrating Radar’ (GPR) itu disumbangkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk operasi hari ini.

Advertisements

“Selain membantu mengesan mangsa di dalam tanah, alat berkenaan juga dapat membantu mengukur ketebalan tanah runtuh.

Setakat pagi ini, seramai 24 mangsa disahkan terkorban dan sembilan lagi masih hilang manakala 61 berjaya diselamatkan dalam kejadian dilapor membabitkan seramai 94 orang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Jumaat lalu, JBPM menerima maklumat awal 100 individu terperangkap selepas berlaku runtuhan cerun berketinggian dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar (kira-kira 1.2 hektar).

Berikutan itu, operasi SAR dimulakan bagi mencari mangsa yang dikhuatiri tertimbus.

Sementara itu, Suffian memohon keluarga sembilan mayat mangsa tanah runtuh berkenaan segera tampil membuat tuntutan waris di Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, pihaknya semalam telah mengembalikan 15 mayat kepada waris serta ahli keluarga yang terlibat.

“15 mayat itu terdiri daripada dua lelaki dan lapan perempuan dewasa, serta dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

“Saya mohon waris-waris keluarga terlibat atau rakan-rakan yang tahu tentang maklumat kejadian supaya pergi ke Hospital Sungai Buloh untuk pengecaman dan kenalpasti supaya urusan pengembalian mayat dipermudahkan.

“Setakat ini ada sembilan lagi mayat masih belum dituntut oleh keluarga atau waris. Saya mohon untuk buat laporan polis segera atau datang terus ke hospital pun boleh.

“Di sana ada pasukan khas yang akan menguruskan dokumentasi, penyerahan mayat mangsa dan sebagainya utk memudahkan keluarga dan waris yang terlibat,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan