32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Remaja hilang ditemui selamat, ‘diculik’ kerana cinta

Mangsa berkenalan dengan teman lelakinya menerusi Instagram sejak tiga tahun yang lalu.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS telah menahan tiga individu termasuk teman lelaki seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari sebuah inap desa di Taman Salak Maju, Sepang sejak awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 19 dan 18 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 13, Shah Alam.

“Dalam serbuan ini, mangsa turut ditemui dalam kediaman terbabit.

“Susulan tangkapan pertama itu, kami turut menahan seorang lagi suspek iaitu lelaki berusia 21 tahun dipercayai teman lelaki mangsa bagi membantu siasatan kes sama di sebuah pasar raya di Seksyen 13, Shah Alam pada pukul 9.30 malam,” katanya hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, berdasarkan siasatan lanjut mendapati, dua suspek lelaki berusia 19 dan 21 tahun mengaku menaiki motosikal bersama ke kawasan inap desa untuk bertemu dengan mangsa.

“Salah seorang suspek dan mangsa kemudian menaiki sebuah kenderaan e-hailing untuk pulang ke kondominium berkenaan.

“Seorang lagi suspek iaitu wanita berusia 18 tahun bagaimanapun mengaku tidak terlibat dalam kes itu, namun kebetulan berada di lokasi mangsa ditemukan,” katanya.

Menurutnya, mangsa berkenalan dengan teman lelakinya menerusi Instagram sejak tiga tahun yang lalu.

“Kami percaya motif kejadian adalah disebabkan cinta,” ujarnya.

Katanya, pihaknya turut merampas tiga unit telefon pintar, sebuah motosikal jenis Yamaha R15, dua helai baju, dua helai seluar dan dua unit topi keledar daripada ketiga-tiga suspek

“Kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi Ahad lalu, Salsabila Putri dikatakan hilang selepas keluar daripada sebuah inap desa di Taman Salak Maju, Sepang. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan