25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Sato mohon maaf, rayu tidak serang akaun peribadinya

Selepas memberikan sepakan penalti kepada Vietnam dan melayangkan kad merah kepada pemain negara dalam perlawanan Piala AFF malam tadi.

Mesti Baca

PENGADIL FIFA, Ryuji Sato memohon maaf kepada para penyokong bola sepak Malaysia berhubung perlawanan dengan Vietnam dalam kejohanan Piala AFF di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam tadi.

Pengadil dari Jepun yang mengadili perlawanan penuh kontroversi itu berkata, dia telah menerima kecaman secara peribadi ekoran perlawanan tersebut yang menyaksikan Malaysia tewas 0-3 di tangan tuan rumah.

Sehubungan itu, dia merayu kepada para penyokong Malaysia agar tidak menyerang akaun media sosial peribadinya kerana ia turut dibaca oleh keluarganya.

“Saya terima banyak pesanan peribadi daripada penyokong Malaysia berhubung keputusan saya buat dalam perlawanan malam tadi.

“Saya mohon maaf kepada penyokong Malaysia.

“Tolong jangan serang Instagram peribadi saya kerana saya ada keluarga dan mereka membaca semua komen tersebut,” rayunya menerusi instagram hari ini.

Sato berkata, dia juga telah dihubungi oleh Presiden Persatuan Pengadil FIFA dan mereka akan menilai pengadilannya dalam perlawanan tersebut.

Dalam aksi malam tadi, Sato membuat keputusan pelik dengan memberikan sepakan penalti kepada Vietnam dan menghadiahkan kad merah kepada Azam Azmi Murad selepas insiden pelanggaran antara pemain negara itu dengan penyerang tuan rumah, Doan Van Hau.

Azam Azmi didakwa mengasari Van Hau selepas dirempuh pemain tersebut di luar padang tetapi berhampiran kotak penalti menyebabkan Sato menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam yang gagal disekat penjaga gol negara, Syihan Hazmi Mohamed.

Gol kedua yang diperoleh Vietnam serta keputusan Sato itu telah merencatkan semangat juang anak-anak buah Kim Pan Gon sebelum tunduk 0-3 kepada musuh tradisi itu.

Keputusan tidak masuk akal bagi penyokong Harimau Malaya yang dibuat Sato malam tadi bukan kali pertama, malah dia juga membuat keputusan kontroversi ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam Kelayakan Piala Asia di Dubai tahun lalu.

Lebih menjadi persoalan apabila Sato secara terbuka menyokong skuad Naga Merah itu menerusi media sosial sehari sebelum mengadili perlawanan malam tadi.

Dengan disertakan satu rakaman video, Sato mengucapkan tahniah kepada Vietnam dan pasukan itu akan memenangi perlawanan.

“Selamat maju jaya. Vietnam menang! Jangan lupa pukul 7.30 malam esok 27/12 di Stadium Nasional My Dinh. Saya sayang kamu semua! (Bendera Vietnam).

Malahan pengadil itu juga turut menyatakan sokongannya kepada Vietnam secara terbuka dalam beberapa hantaran dalam media sosial sebelum ini.

Sementara itu, para penyokong Harimau Malaya menggesa FIFA dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengambil tindakan terhadap Sato ekoran insiden malam tadi. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan