25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Rakyat damba kerajaan yang bekerja, berfungsi – Zahid

Kejayaan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri mampu menjadi permulaan kerajaan yang stabil demi kemakmuran rakyat.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

RAKYAT hari ini mendambakan kerajaan yang bekerja dan berfungsi untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sejajar dengan itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat akan menjadi fokus utama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Pelbagai cabaran dalam urusan ekonomi dan kewangan negara pada tahun mendatang ini memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan kelangsungan kehidupan rakyat.

“Perancangan dan pelaksanaan dasar serta polisi yang mampan akan menghasilkan sebuah negara lebih maju dan sejahtera.

“Justeru, kestabilan politik amat penting agar rakyat Malaysia dapat bersama sederap bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan untuk membina negara ke arah yang lebih baik,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kejayaan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini, yang akan menjadi permulaan kerajaan yang stabil demi kemakmuran rakyat.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, lunas demokrasi menyaksikan rakyat melalui wakil rakyat masing-masing di Dewan Rakyat telah memberikan mandat yang jelas kepada Kerajaan Perpaduan apabila usul undi percaya diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

“Alhamdulillah, maka kini sudah jelas lagi tuntas akan keabsahan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

“Dengan keyakinan dan legitimasi hari ini, ia merupakan manifestasi buat semua pihak termasuklah kerajaan dan pembangkang untuk bergerak ke hadapan dan memberi seluruh tumpuan membangunkan negara,” katanya.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul undi percaya kepada keabsahan Perdana Menteri melalui undi suara majoriti.

Keputusan itu diumumkan Speaker Datuk Johari Abdul, selepas usul itu selesai digulung Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sewaktu menggulung, Azalina berkata, seramai 13 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan, dan majoriti pembahas membangkitkan tentang kandungan Perjanjian Persefahaman antara Gabungan Kerajaan Perpaduan, khususnya tentang klausa yang mewajibkan Ahli Parlimen Kerajaan menyokong usul berkaitan keabsahan kerajaan.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan