28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pertahan kerajaan Anwar, Asyraf Wajdi dituduh membodek

Beliau juga diingatkan tidak menyalahgunakan istilah Kerajaan Perpaduan kerana kerajaan Malaysia hari ini ialah 'Kerajaan Campuran'

Mesti Baca

KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dituduh ‘membodek’ apabila terus mempertahankan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pernah mengeluarkan kenyataan:

“Saya orang pertama akan menentang kalau parti (UMNO) nak menyokong PM (Perdana Menteri) ataupun mewujudkan kerajaan DAP-PH Lead Government.”

Semalam, calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Gerik namun tewas itu mempertikai pihak-pihak yang mendakwa kerajaan baharu pasca-PRU-15 didominasi bukan Melayu-Islam.

Dengan menunjukkan carta dan angka, Asyraf Wajdi berkata, sebenarnya Kerajaan Perpaduan itu didominasi oleh ahli-ahli Parlimen beragama Islam dengan jumlah keseluruhan sebanyak 68 orang.

Beliau berkata, jumlah tersebut jauh lebih besar berbanding ahli Parlimen kaum Cina sebanyak 34 orang, India (lapan) dan lain-lain seramai dua orang.

“Justeru Kerajaan Perpaduan Malaysia jika mengambil kira tiga parti utama PH, BN dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) sahaja ahli Parlimen Bumiputera Islam adalah yang terbesar iaitu 68 orang,” katanya menerusi Facebook beliau.

Asyraf Wajdi berkata, jumlah tersebut lebih besar jika digabungkan dengan ahli-ahli Parlimen beragama Islam daripada Warisan (tiga) serta tiga lagi dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Maka keseluruhan ahli Parlimen Bumiputera-Melayu beragama Islam Kerajaan Perpaduan Malaysia adalah 74 orang iaitu yang paling tinggi dan majoriti,” katanya.

Ekoran itu, beliau mendapat ‘serangan’ bertubi-tubi daripada kalangan warganet yang menuduhnya cuba membodek Perdana Menteri bagi mendapatkan jawatan.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz pula menggesa Asyraf Wajdi tidak menyalahgunakan istilah “Kerajaan Perpaduan”.

Katanya, kerajaan perpaduan sepatutnya disertai oleh parti-parti pesaing utama sepertimana diamalkan di Jerman.

“Kerajaan di negara ini lebih tepat disebut sebagai kerajaan campuran. Memang bercampur pun, bercampur bekas banduan dan mereka yang masih mempunyai kes mahkamah.

“Di dalamnya bercampur golongan penipu dan munafik. Di dalam ini juga bercampur golongan dengan ideologi bertentangan, termasuklah sejumlah besar golongan liberal, sosialis, pluralis agama, evengelis, pro-murtad dan pro-LGBT,” katanya menerusi ruangan komen.

Beliau yang kini menjalani penggantungan keahlian UMNO menggesa Asyraf Wajdi tidak mencemarkan nama kerajaan perpaduan dengan Kerajaan Campuran yang belum diketahui hala tujunya.

“Pesanan saya, tolonglah bawa Pemuda UMNO anda menyanyi lagu, Cukuplah Sekali Ditipu di Padang Serai dan Tioman nanti. Lama dah tak dengar mereka menyanyi lagu tu…” katanya sinis. – Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan