Saturday, June 13, 2026

MCMC nasihat orang ramai henti sebar video tiga beradik maut

Pengguna media sosial dinasihatkan untuk membuat laporan secara terus terhadap kandungan sensitif dan tidak sesuai untuk tatapan umum kepada penyedia platform.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihati orang ramai untuk berhenti menyebarkan video tiga beradik maut dipercayai terkena renjatan elektrik di rumah mereka yang dilanda banjir di Kelantan hari ini, bagi menghormati mangsa dan privasi keluarga.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan, langkah itu bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden berkenaan.

MCMC berkata, pihaknya juga telah mengambil langkah proaktif mengangkat perkara berkenaan untuk perhatian dan tindakan selanjutnya oleh penyedia platform seperti Meta, Twitter dan TikTok dalam usaha mengekang penularan video berkaitan.

“Pengguna media sosial dinasihatkan untuk membuat laporan secara terus terhadap kandungan sensitif dan tidak sesuai untuk tatapan umum kepada penyedia platform,” katanya.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memaklumkan sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

“TNB akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Tenaga dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian ini dan membuat spekulasi.

“Sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan sisatan di samping menghormati perasaan dan sensitiviti keluarga mangsa,”katanya.

Terdahulu, tiga beradik perempuan maut, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah mereka yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau, Morak, Kelantan pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.45 pagi meragut nyawa mangsa yang berusia antara 20 hingga 27 tahun. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan