25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kes demam denggi meningkat 3.5 peratus minggu lepas

Satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu itu berbanding lima pada minggu sebelumnya.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JUMLAH kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-51 tahun ini (ME51/22) dari 18 hingga 24 Disember meningkat 3.5 peratus iaitu 2,018 kes berbanding 1,950 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu itu berbanding lima pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga kini adalah 64,078 kes berbanding 25,794 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 148.4 peratus.

“Manakala 50 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh sama pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 31 kematian.

“Sejumlah 58 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 55 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 32 lokaliti hotspot berada di Selangor, 16 lokaliti di Sabah, enam lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan empat lokaliti di Pulau Pinang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, survelan chikungunya pula merekodkan 16 kes pada ME ke-51 dengan 10 kes di Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan, masing-masing dengan dua kes dan masing-masing satu kes di Selangor dan Pahang, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya hingga kini adalah 801 kes.

“Bagi survelan zika, sebanyak 2,181 sampel darah dan 18 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menyarankan masyarakat agar melakukan aktiviti gotong-royong bagi memutuskan kitaran hidup nyamuk Aedes dan seterusnya menurunkan insiden jangkitan demam denggi.

“Ini kerana seekor nyamuk Aedes memerlukan masa selama tujuh hari untuk melengkapkan kitaran hidup bermula daripada fasa telur, jentik-jentik, pupa sehingga menjadi nyamuk dewasa.

Beliau berkata, bagi kawasan dilanda banjir, sampah, barang lusuh dan barangan dihanyutkan hendaklah dilupuskan secara berhemah selain perlu memastikan tiada air bertakung di persekitaran premis.

“Ini kerana bahan buangan itu dapat menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk Aedes kerana nyamuk Aedes hanya memerlukan takungan air yang sedikit untuk bertelur.

“Nyamuk Aedes juga dapat terbang sejauh 200 meter dari tempat pembiakan bagi mendapatkan sumber makanan serta menjangkitkan virus denggi kepada individu sekiranya nyamuk tersebut membawa virus denggi. Persekitaran yang bersih dapat memutuskan rantaian hidup nyamuk Aedes,” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan