31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Keluarga Altantuya menang kes saman, ganti rugi RM5 juta

Plaintif memfailkan saman itu pada 4 Jun 2007 mendakwa kematian model itu telah menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KELUARGA model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu mendapat ganti rugi RM5 juta oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, berhubung kematian wanita itu pada 2006.

Ini selepas Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan saman yang difailkan oleh ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu mereka Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga terhadap dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar serta Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia.

“Saya dapati plaintif telah berjaya membuktikan kes mereka terhadap defendan pertama (Azilah), kedua (Sirul) dan ketiga (Abdul Razak).

“Selaku defendan keempat (kerajaan Malaysia), saya dapati, berdasarkan fakta undang-undang, defendan keempat sebagai majikan, bertanggungjawab terhadap tindakan yang menyalahi undang-undang defendan pertama dan kedua – yang dijalankan atas kapasiti pegawai polis,” kata hakim ketika menyampaikan keputusan itu secara dalam talian.

Plaintif memfailkan saman itu pada 4 Jun 2007 mendakwa kematian model itu telah menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi dan memohon mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.

Seramai 26 saksi plaintif, termasuk bapa serta anak sulung Altantuya memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 2019.

Defendan iaitu kerajaan mengemukakan tiga saksi dan Abdul Razak memilih tidak memberi keterangan bagi menjawab tuntutan saman terbabit. 

-EDISI9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan