31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Jabatan agama berjaya halang pesta buih di hotel mewah

JAINJ menerima maklumat daripada orang awam berhubung pesta buih selepas tersebar jemputan ke parti secara tertutup berkenaan di media sosial.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berjaya menggagalkan penganjuran pesta buih yang dijadual diadakan di sebuah hotel mewah di Johor Bahru pada malam Jumaat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, JAINJ menerima maklumat daripada orang awam berhubung pesta buih selepas tersebar jemputan ke parti secara tertutup berkenaan di media sosial.

Menurut beliau, JAINJ sudah menghubungi penganjur dan pemilik hotel terbabit dan mereka bersetuju untuk membatalkan parti yang akan dirancang diadakan di kolam renang hotel berkenaan.

“Tindakan membatalkan program itu dibuat serta merta kerana ia melibatkan pergaulan bebas dan tidak sopan antara orang Islam.

“Saya percaya rakyat Johor termasuk orang bukan Islam pun melihat pergaulan bebas sebagai perbuatan tidak baik, bukan agama Islam semata-mata, ini adalah soal budi bahasa dan adat resam Johor sendiri,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Pusat Islam Johor, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Fared memaklumkan pihaknya akan memperkasakan undang-undang dan penguatkuasaan termasuk memberi jaminan keselamatan kepada kakitangan MAINJ yang bertugas dalam mencegah aktiviti maksiat di Johor.

Menurutnya, JAINJ akan menjalankan pemantauan di beberapa lokasi lain termasuk di hotel mewah tersebut bagi memastikan tidak ada program atau aktiviti yang mengundang kemaksiatan seperti pesta buih itu diadakan.

“Kita sudah memberi amaran dan akan menjalankan penguatkuasaan untuk bertindak jika penganjur atau mana-mana lokasi meneruskan pesta buih itu.

“Pencegahan terhadap program maksiat sebegini akan diteruskan sepanjang masa dan bukan dilakukan secara bermusim pada tarikh tertentu sahaja.

“Kerisauan kita adalah program yang melibatkan pergaulan bebas dan perlakuan tidak sopan seperti ini melibatkan orang Islam. Saya percaya semua orang termasuk yang bukan Islam pun tidak mahu melihat kegiatan bercampur bebas ini,” katanya.

Sehubungan itu menurut beliau, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau ingin membuat aduan boleh terus menghubungi penguatkuasa JAINJ di talian yang dinyatakan di laman sesawang JAINJ.

Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tidak dimaklumkan mengenai penganjuran pesta buih yang dijadual berlangsung di sebuah hotel mewah di bandar raya ini, esok.

Menurut beliau, semakan sudah dibuat Pejabat Daerah Johor Bahru yang didapati tiada pemakluman acara itu.

“Jadi sudah tentu tiada rujukan atau kelulusan daripada MBJB. Semakan kita, Pejabat Daerah Johor Bahru juga tidak maklum (perkara ini),” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Noorazam meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti tidak bermoral yang melanggar undang-undang kepada pihaknya untuk diambil tindakan.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan