26.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Imigresen tahan 6 PATI seludup masuk secara haram

PATI dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui laluan haram di Sungai Golok Kelantan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menahan enam orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang memasuki Malaysia melalui laluan haram dalam satu operasi khas yang dijalankan di Terminal Bas Bersepadu (TBS) Kuala Lumpur semalam.

Operasi Khas pada kira-kira jam 5.20 pagi itu dilaksanakan sepasukan pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi berkenaan dilakukan setelah menerima maklumat awam mengenai terdapat sekumpulan enam orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas awam.

“PATI dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui laluan haram di Sungai Golok Kelantan.

“Hasil daripada maklumat diperolehi, pasukan operasi telah berjaya mengesan bas yang membawa sekumpulan enam orang PATI tersebut di lebuhraya Pantai Timur dan bertindak mengekori sehingga ke TBS.

“Sebaik tiba, pasukan operasi telah melakukan pemeriksaan ke atas semua penumpang dua buah bas secara berasingan.

“Hasil pemeriksaan telah menahan lima orang lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berusia antara 35 hingga 54 tahun,” katanya di sini.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati kesemua PATI yang ditahan memiliki cap keluar negara jiran dan cap masuk Malaysia yang disyaki palsu.

“Cap-cap palsu digunakan di dalam pasport milik mereka bertujuan mengaburi pihak berkuasa bahawa mereka memasuki Malaysia secara sah dan melepasi pemeriksaan Imigresen di Pintu Masuk Negara.

Advertisements

“Kesemua mereka juga dikesan memiliki rekod senarai hitam dan dihalang dari memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan lampau,” katanya.

Menurutnya, sindiket dipercayai telah mengubah modus operandi dengan membawa PATI menaiki pesawat dari Indonesia ke negara jiran untuk tujuan transit sebelum memasuki Malaysia secara tidak sah.

“Jaringan sindiket akan menyediakan pengangkutan dan lain-lain kemudahan supaya kumpulan PATI berkenaan dapat memasuki Malaysia melalui laluan haram di sempadan.

“Seterusnya mereka akan dipindahkan dengan menaiki kenderaan ke stesen bas berhampiran untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Kesemua mereka juga mengaku tidak melapor untuk pemeriksaan imigresen semasa masuk ke Malaysia.

“Sebaliknya urusan berkaitan pasport diuruskan oleh pihak sindiket semasa mereka berada di rumah transit penampungan,”katanya.

Kata beliau, daripada soal siasat mendapati, tujuan mereka masuk adalah untuk bekerja semula samada dengan bekas majikan atau majikan baru di sekitar Kuala Lumpur yang telah diatur awal oleh pihak sindiket.

“Kumpulan PATI ini mendakwa membayar antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada ejen di negara asal untuk urusan pakej kemasukan ke negara ini,” katanya.

Sehubungan dengan itu, ujar beliau, kesemua warganegara asing berkenaan kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan