SEBANYAK 133 kawasan di Melaka bakal dilengkapi dengan liputan rangkaian 5G Yes menjelang akhir bulan ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee.
Beliau berkata, antara kawasan yang bakal menerima liputan teknologi terkini itu termasuk Bukit Baru, Duyong, Taman Semabok dan Taman Saga.
Menurut Lee, pelancaran 5G Yes di negeri itu bagi menyokong pembangunan teknologi bandar raya tersebut untuk merealisasikan Smart Melaka Blueprint 2035 Melaka.
Katanya, ia sebagai usaha menuju status bandar pintar yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Melaka dan perniagaan-perniagaan tempatan untuk berkembang dalam ekonomi digital.
“Rangkaian fiber 5G tanpa wayar untuk kediaman pertama di Malaysia dengan penghala Infinite Gateway 5G percuma kini boleh dinikmati rakyat di bandar raya itu.
“Bukan sahaja mereka boleh merasai sendiri dunia 5G yang baharu, tetapi juga kelajuan muat turun kedua terpantas di seluruh rantau Asia Pasifik,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Lee berkata, perkhidmatan 5G akan merangkumi 55.2 peratus populasi negeri Melaka dan akan terus memastikan semua penduduk di negeri itu bakal menikmati teknologi telekomunikasi terkini itu, seiring dengan transformasi digital negara.
“Kini, kami bangga akan kemampuan kami untuk menyokong kerajaan negeri untuk memajukan bandar-bandar pintar dengan teknologi dan perkhidmatan Yes 5G kami untuk membolehkan negara ini mara setapak lagi ke arah ekonomi digital berskala penuh.
“Dengan perkhidmatan 5G tanpa wayar bertaraf fiber dan berkualiti tinggi di seluruh negara serta pelaburan kami dalam pusat-pusat data berkala hiper, kami sedang giat merapatkan jurang-jurang dalam negara ini untuk berkembang seiring dengan ekonomi digital,” katanya. – Edisi 9