PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan terus kekal di Sabah dan kembali bangkit, biarpun pemimpinnya meninggalkan parti hari ini.
Itu kata, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sebaik sahaja Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor mengambil keputusan mengumumkan keluar daripada parti itu.
Meskipun terpaksa menerima keputusan itu, kata beliau, BERSATU akan segera membentuk semula struktur parti yang runtuh di negeri itu.
“Pengurusan parti akan segera membentuk struktur yang runtuh di pelbagai peringkat untuk tujuan kembali memperkasakan parti.
“Kita amat yakin dengan penerimaan dan sokongan rakyat kepada BERSATU di seluruh negara termasuk di Sabah. BERSATU akan kekal di Sabah dan akan bangkit daripada situasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah dalam satu kenyataan pagi ini, berkata keputusan dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.
Beliau berkata, kerajaan negeri ditunjangi GRS – Barisan Nasional (BN) juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, GRS menang di enam kerusi Parlimen, dua pemimpinnya, masing-masing menteri dan timbalan menteri juga dinamakan mewakili Kabinet yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Edisi 9