25.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Semua agensi diarah bantu Keluarga Malaysia ditimpa banjir – PM

Operasi menyelamat mangsa juga perlu dipastikan berjalan dengan lancar, selain stok makanan dan pengangkutan telah bersedia sepenuhnya.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua agensi yang terlibat termasuk Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan perhatian sepenuhnya membantu semua Keluarga Malaysia yang ditimpa musibah banjir.

Beliau berkata, operasi menyelamat mangsa juga perlu dipastikan berjalan dengan lancar, selain stok makanan dan pengangkutan telah bersedia sepenuhnya.

“Saya menerima laporan beberapa kawasan di negeri Selangor dinaiki air sejak semalam.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah dikerahkan ke lokasi-lokasi yang dilanda banjir bagi memindahkan mangsa,” katanya dalam Facebook hari ini.

Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai  supaya sentiasa berwaspada dengan bencana yang berlaku dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh agensi keselamatan.

“Sentiasa peka dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia bagi membuat persediaan awal.

“Sama-sama kita berdoa agar bencana alam ini segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat,” katanya.

Terdahulu, beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang sekali lagi dilanda banjir kilat dalam tempoh dua hari ini.

Hari ini, banjir kilat berlaku di Kampung Budiman, Klang, Persiaran Mokhtar Dahari berdekatan kawasan perumahan di Alam Budiman dan Seksyen U6, Shah Alam.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, beberapa anggota bomba daripada balai bomba berdekatan tempat kejadian digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebanyak 31 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Kota Anggerik, Sungai Pinang serta Ibu Pejabat Bomba Selangor digerakkan ke lokasi kejadian

“Kita juga menggunakan enam buah bot ke semua lokasi ini bagi memindahkan mangsa dari lokasi kejadian dan terdapat seorang mangsa iaitu warga emas di Kampung Budiman dipindahkan ke tempat selamat,” katanya hari ini.

-EDISI9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan