JABATAN Perdana Menteri (JPM) menafikan poster tular yang memaparkan ucapan tahniah kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.
Perkara itu dimaklumkan JPM menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
“Maklumat seperti poster tersebut adalah palsu,” kata jabatan itu.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat tidak pasti ataupun palsu.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dijangka akan diberikan kepada blok terkuat lain dalam kerajaan perpaduan iaitu BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Semalam, Anwar turut memaklumkan pengumuman senarai Kabinet akan mengambil masa beberapa hari lagi, dengan perbincangan untuk melantik menteri turut sedang dilaksanakan bersama parti gabungan Pakatan Harapan (PH)
Setakat ini, kerajaan perpaduan disertai PH yang mempunyai 82 kerusi dan diikuti Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), dan Gabungan Rakyat Sabah (enam) dengan keseluruhan kekuatan kini hampir mencecah dua pertiga ahli Parlimen.
-EDISI9