29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Ismail Sabri zahir dukacita kematian sahabat lama Pemuda UMNO

Arwah Ir. Nawawi meninggal dunia di Frankfurt, Jerman awal pagi tadi.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa dukacita beliau ke atas berita pemergian Bekas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad, 61.

Ismail Sabri berkata, Ir Nawawi merupakan seorang sahabat lama sejak beliau berkecimping bersama-sama dalam Pemuda UMNO.

“Mendapat perkhabaran mendukacitakan tentang pemergian seorang sahabat lama saya sejak zaman kami sama-sama dalam Pemuda UMNO, Dato’ Ir Haji Nawawi Ahmad.

“Beliau merupakan Ketua UMNO Bahagian Langkawi dan Bekas Ahli Parlimen Langkawi.

“Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham dan semoga keluarga tabah menghadapi dugaan ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya hari ini.

Arwah Ir. Nawawi meninggal dunia di Frankfurt, Jerman awal pagi tadi.

Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan, Allahyarham berangkat ke negara itu bagi urusan kerja atas kapasiti beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Allahyarham memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan pernah berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Parlimen Langkawi mulai 2013 hingga 2018.

Sebelum itu beliau turut pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah antara 2004 hingga 2013.

Beliau bagaimanapun tewas kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Susulan kekalahannya itu, beliau turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak lama selepas PRU14 berakhir, setelah memegang jawatan tersebut sejak Februari 2014.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan