LIMA pekerja kilang nyaris rentung dalam kebakaran melibatkan dua bangunan yang menempatkan kilang memproses santan, dua kilang elektronik dan sebuah pejabat urusan di Taman Perindustrian Puchong semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, bagaimanapun, kesemua mangsa terlibat sempat diselamatkan.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang, Petaling Jaya, Serdang dan Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan daripada orang awam pada jam 11.20 malam.
“Setiba dilokasi sepuluh minit kemudian, anggota bomba terus menjalankan kerja pemadaman ke atas dua bangunan menempatkan empat buah kilang tersebut.
“Kebakaran melibatkan kemusnahan sebanyak 70 peratus,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Menurutnya, kesemua mangsa terlibat bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
“Lima mangsa merupakan lelaki warga tempatan berumur antara 20 hingga 30-an itu berada di dalam sebuah kilang yang terbakar ketika kejadian.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Anggaran kerugian melibatkan empat buah kilang tersebut masih dalam siasatan,” katanya. – Edisi 9