31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Kenyataan media Zahid letak jawatan palsu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KENYATAAN media konon Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO adalah palsu.

Zahid berkata, beliau percaya kenyataan media yang menggunakan kepala surat ‘Pengerusi BN’ itu dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab.

Beliau menggesa mana-mana pihak agar tidak mengeluhkan lagi keadaan ketika negara sedang dalam proses peralihan penubuhan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Mohon jangan keruhkan lagi keadaan,” katanya sambil menafikan ada mengeluarkan kenyataan media tersebut, hari ini.

Zahid mendapat tekanan daripada para pemimpin dan akar umbi agar melepaskan jawatannya di dalam parti susulan prestasi terburuk BN dalam PRU-15 Sabtu lalu.

Dalam pilihan raya itu, BN yang bertanding 157 kerusi bagaimanapun hanya memenangi 30 kerusi Parlimen serta hilang tiga negeri bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Perlis, Perak dan Pahang.

Bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen BN kini menjadi ‘rebutan’ antara Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional susulan tiada mana-mana parti atau parti gabungan memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan.

Ekoran itu, kemelut politik pasca-PRU15 masih lagi belum menemui jalan penyelesaian.

Advertisements

“Mohon doakan yang terbaik untuk dalam keadaan sekarang ini,” katanya ringkas.

Kenyataan tular bertarikh 22 November itu menyatakan mengenai mesyuarat tergempar diadakan malam tadi dihadiri pemimpin utama setiap parti gabungan BN dan pemimpin tertinggi BN.

Beberapa keputusan turut dicapai dalam menentukan gabungan mana yang akan disokong BN.

Surat itu juga menyatakan Ahmad Zahid dengan berat hati ingin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO atas dasar tanggungjawab kekalahan besar BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dengan peletakan jawatan beliau, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memangku jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO sehinggalah pemilihan UMNO yang akan diadakan pada Januari 2023.

Malam tadi, BN mengadakan dua mesyuarat berasingan dipercayai bagi memuktamadkan sokongan kepada gabungan parti politik yang mungkin membentuk Kerajaan Persekutuan.

Kedua-dua mesyuarat itu, masing-masing mesyuarat Dewan Tertinggi BN dan mesyuarat bersama Ahli Parlimen gabungan berkenaan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan