PERTUBUHAN Muafakat Pondok Se-Malaysia (PMPS) hari ini menyeru rakyat negara ini yang akan membuang undi esok agar sama sekali tidak menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai pilihan mereka.
Pengerusinya, Marzuki Yusof berkata, PH yang terdiri gabungan PKR, DAP, PAN dan MUDA itu bukan sahaja tidak boleh dipilih sebagai kerajaan tetapi juga gabungan kerajaan.
Sebaliknya, beliau berkata, parti itu sebaliknya sekadar menjadi pembangkang yang bijak, ikhlas dan bersungguh-sungguh memberi teguran dan kritikan membina kepada kerajaan.
“Komponen PH jelas masih dibayangi ideologi serta calon-calon yang tidak jelas kesediaan mereka mendokong syariah Islam, agama negara serta Perlembagaan.
“Namun, tidak dinafikan, negara masih memerlukan komponen pembangkang seperti PH untuk berfungsi sebagai check & balance (semak dan imbang) yang berkesan kepada kerajaan kelak,” katanya dalam Deklarasi Gabungan Pondok Se-alaysia hari ini.
Marzuki berkata, PMPS juga menasihati para pengundi agar menolak parti-parti yang tidak berprinsip, berfahaman, bersifat atau bersikap seperti tidak menzahirkan kepatuhan kepada Keluhuran Perlembagaan.
Katanya, parti-parti yang tidak menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, tidak menzahirkan kesetiaan kepada kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, tidak menghormati hak-hak orang Melayu serta kepentingan sah anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta tidak menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan juga perlu ditolak.
Selain itu, calon-calon yang disabit jenayah rasuah, tidak berintegriti, mendokong fahaman komunisme, ekstrimisme, liberalisme, pluralisme, shiisme, wahabisme, evangelisme atau apa- apa aliran ideologi yang bercanggah dengan pegangan agama (Ahlu Sunnah wal Jamaah), adat budaya, perlembagaan, peradaban Tanah Melayu demi kestabilan, kemakmuran dan keharmonian negara juga perlu ditolak.
“Amanah utama kepimpinan negara adalah menjaga setiap masa kesejahteraan rakyat dan negara berasaskan dasar dan nilai Islam sebagai Agama Persekutuan.
“Perlembagaan Persekutuan adalah landasan bagi pemerintahan negara yang mesti dipatuhi bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan terlaksana di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, PRU15 merupakan detik penting bagi menyediakan kepimpinan yang mampu mengemudi rakyat dan negara menghadapi segala cabaran menuju kesejahteraan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemilih terutamanya pengundi muda yang kali pertama membuang undi agar menimbangkan dengan cermat dan berhati-hati amanah memilih dalam PRU15 ini serta kesannya kepada diri, keluarga, masyarakat, generasi dan negara.
“Semoga pertimbangan yang sewajarnya daripada semua akan menjadi khidmat bakti bermakna buat Agama, Bangsa dan Tanahair tercinta,” katanya.
-EDISI9

