32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Bayi ditinggalkan atas pangkin letak kasut

Bayi itu dianggarkan berusia kira-kira dua minggu berdasarkan berat badan dan keadaan tali pusatnya.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG penghuni rumah terkejut apabila menemui seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di atas pangkin tempat letak kasut di rumah Taman Saujana Impian, Kajang, Selangor, lewat malam tadi.

Difahamkan, penghuni rumah teres dua tingkat itu membuat laporan polis pada pukul 11.39 malam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berdasarkan laporan pengadu, bayi lelaki itu ditemui dalam keadaan terbaring hanya memakai lampin.

“Pengadu mendakwa menguruskan bayi itu dengan memberinya susu dan pakaian sebelum melaporkan perkara berkenaan di Balai Polis Kajang.

“Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang nota ditinggalkan bersama bayi berkenaan. Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan awal dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serta berada dalam keadaan sihat.

“Bayi itu dianggarkan berusia kira-kira dua minggu berdasarkan berat badan dan keadaan tali pusatnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujar Mohd Zaid lagi, bayi itu kini ditempatkan sementara di Wad Kanak-kanak, Hospital Kajang, untuk tujuan pemantauan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kita meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu, untuk tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mu’az Mazlan, melalui talian 017-9788804 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan