25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tindakan 12 menteri PN terdesak, takut hilang jawatan

Semua akar umbi, biro politik dan MKT Umno berharap tidak ada wakil rakyat UMNO bersubahat dengan agenda musuh UMNO BN ini.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan 12 Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong menolak diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tahun ini sebagai takut kehilangan jawatan dan kuasa.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, ini kerana mereka bukanlah pemimpin yang berwibawa malah ada dalam kalangan mereka adalah calon-calon yang tewas dalam pilihan raya lalu, tetapi dilantik sebagai menteri.

“Sudah pasti sebahagian besarnya terdiri mereka bukanlah pemimpin yang berwibawa. Tindak tanduk mereka sebelum ini mengecewakan pengundi mereka sendiri.

“Ada yang kalah teruk pilihan raya, akan tetapi diangkat menjadi senator lalu dilantik sebagai menteri. Bukan sebarang menteri akan tetapi menteri kanan.

“Wakil rakyat lain puluhan tahun dipilih rakyat dan berkhidmat tidak pula dilantik menjadi menteri kanan.

“Yang kalah pilihan raya ini pula diangkat menjadi menteri kanan. Ada pula dilantik menjadi timbalan menteri,” katanya dalam Facebook hari ini.

Zahid yang juga Presiden UMNO mengulas laporan bahawa 12 menteri PN dalam Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri telah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Surat itu bagi memaklumkan pendirian menteri-menteri Kabinet daripada PN tidak bersetuju sekiranya PRU-15 diadakan tahun ini untuk memberikan tumpuan kepada rakyat bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

Menurut Zahid, dalam kalangan Kabinet PN itu sudah pasti sangat risau dengan pilihan raya ialah mereka yang melompat parti.

“Mereka tahu mereka akan dihukum oleh pengundi mereka sendiri. Pengundi marah ketika kempen PRU bercakap berdegar-degar dan janji pula melangit. Kata demi pengundi, demi parti disayangi.

“Akan tetapi apabila menang, melompat ke parti lain. Mereka berkhianat demi mendapat laba politik, jawatan dan kedudukan.

“Yang lompat parti dan menjadi menteri sekarang sedar bahawa peluang mereka untuk menang sangat tipis!,” kata beliau.

Advertisements

Zahid berkata, menteri-menteri terbabit takut untuk berdepan dengan pengundi mereka dahulu kerana di mata pengundi mereka ibarat hidup segan, bertanding semula tak mahu.

Justeru itu katanya, PN cuba untuk mengekalkan kuasa dengan menagguhkan pilihan raya kerana bimbang mengalami kekalahan.

Pada masa yang sama Zahid berkata, akar umbi, biro politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO berharap tidak ada wakil rakyat parti itu yang bersubahat dengan agenda musuh UMNO dan BN tersebut.

“Jika mereka yang terlibat telah dikenal pasti, UMNO dan BN tidak teragak-agak untuk membuat tindakan dan masanya akan tiba nanti.

“Disiplin parti UMNO dan BN perlulah dipatuhi. Dalam suasana menjelang pilihan raya ini jangan ada pula cuba berkhianat dan menikam UMNO dari belakang.

Menurutnya, UMNO dan BN tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pengkhianat parti.

“Biarlah katak politik parti lain, dan parti mereka sahaja masih hanyut dengan jawatan mereka sebelum mereka tewas pilihan raya kali ini.

“Kita terus rapatkan barisan, bergerak ke depan, semarakkan obor perjuangan dan pastikan BN menang untuk kestabilan politik.

“Sebelum musuh politik kita tekankan butang tarik diri sepertimana mereka ancam PM kita

“Maka kita pastikan tekan butang terlebih dahulu. UMNO dan BN tidak pernah gentar!,” tegas Zahid.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan