27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Prestasi jualan suku ketiga Perodua meningkat 5 peratus

Akan menumpukan kepada peningkatan pengeluaran dan mengurangkan tempoh menunggu pelanggan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 5 peratus kepada 69,011 unit pada suku ketiga tahun ini berbanding 65,719 unit pada suku kedua lalu berikutan rantaian bekalan automotif yang semakin baik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, peningkatan pendaftaran pada suku ketiga itu menunjukkan kebanyakan isu utama dalam rantaian bekalan automotif telah pulih.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan menumpukan kepada peningkatan pengeluaran dan mengurangkan tempoh menunggu pelanggan.

“Kini tiba masanya untuk menambah baik pengeluaran kerana kami perlu mengurangkan tempoh menunggu para pelanggan kami yang dihargai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi perbandingan suku-ke-suku, pendaftaran kenderaan melonjak sebanyak 216.5 peratus berikutan sekatan yang dikenakan antara Jun dan pertengahan Ogos tahun lepas ke atas hampir semua aktiviti ekonomi di negara ini bagi mengekang peningkatan kes COVID-19.

Antara Julai dan September 2021, Perodua hanya menjual sebanyak 21,803 unit.

Bagi perbandingan tahun setakat ini, jualan meningkat sebanyak 64.9 peratus kepada 196,354 unit dari Januari hingga September 2022 berbanding 119,093 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu, untuk perbandingan bulan ke bulan, jumlah pendaftaran kenderaan Perodua sedikit susut iaitu 5.43 peratus kepada 24,626 unit pada September berbanding 26,039 unit yang didaftarkan pada Ogos 2022 sebagai sebahagian daripada pelan memaksimumkan pendaftaran kenderaan syarikat kereta kompak itu pada suku keempat tahun ini.

Zainal berkata, buat masa ini, pihaknya memberi fokus untuk meningkatkan momentum ke suku keempat tahun ini.

“Selain itu akan memaksimumkan pengeluaran pada suku pertama tahun depan bagi memastikan semua pelanggan kami yang menempah kenderaan Perodua mereka dalam tempoh pengecualian cukai jualan akan menerima kereta mereka pada atau sebelum 31 Mac 2023,”katanya.

Setakat 30 Jun 2022, bilangan tempahan tertunggak yang layak untuk pengecualian cukai jualan adalah melebihi 200,000 pesanan.

Mengenai pengeluaran, Perodua telah mencapai pengeluaran bulanan tertinggi setakat tahun ini dengan 29,077 unit pada September, manakala jumlah setakat tahun ini (Januari hingga September 2022) adalah pada 206,837 unit.- Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan