PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) komited untuk mengurangkan tempoh menunggu tempahan pelanggan berbanding dua hingga lapan bulan untuk model tertentu keluarannya ketika ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata pengeluar kereta nasional itu dijangka dapat menguruskan tempoh menunggu kepada tempoh lebih singkat mulai Januari 2024.
“Kami terus komited untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami.
“Kami yakin bermula Januari 2024 dan berikutnya, tempoh menunggu akan dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, jualan kenderaan Perodua melonjak 28.3 peratus bagi suku ketiga tahun ini kepada 88,537 unit berbanding 69,011 unit yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun lalu, dipacu faktor pengeluaran yang bertambah baik.
Mengulas mengenainya, Zainal Abidin, berkata peningkatan jualan itu disumbangkan oleh kecekapan operasi yang lebih baik di bahagian pengeluaran, yang menyaksikan 91,528 unit kenderaan dihasilkan, meningkat sebanyak 21.7 peratus berbanding 75,196 unit pada suku sama tahun lalu.
“Suku ketiga 2023 menjadi titik mula bagi Perodua untuk meningkatkan pengeluaran bulanan melebihi 30,000 unit setiap bulan memandangkan kapasiti bekalan bahan mentah dan alat ganti yang mencukupi bagi memenuhi permintaan,” katanya.
Beliau berkata, bagi angka pengeluaran terkini tahun ini, pengeluar kereta kompak itu telah menghasilkan 245,341 unit kenderaan sehingga September lalu atau peningkatan sebanyak 18.6 peratus daripada 206,837 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Peningkatan pengeluaran ini menunjukkan potensi ekosistem automotif Malaysia berikutan penambahbaikan dalam skala ekonomi mereka tanpa berkompromi terhadap aspek kecekapan kos dan kualiti,” katanya.
Zainal Abidin berkata, dengan berlakunya semua penambahbaikan itu, unjuran jualan dan pengeluaran Perodua pada suku keempat tahun ini dijangka menjadi yang tertinggi dalam sejarah syarikat.
Pendaftaran terkini Perodua adalah sebanyak 233,227 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 196,354 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah unit yang telah didaftarkan itu, model Perodua paling laris yang dijual sehingga September 2023 adalah Perodua Bezza, diikuti oleh Axia dan Myvi.
Katanya, perkembangan positif itu telah membantu PERODUA menambahbaik kapasiti pengeluaran dan memendekkan tempoh penghantaran kenderaan kepada pelanggan.
“Kami juga masih di dalam landasan untuk mencapai sasaran pendaftaran sebanyak 314,000 unit tahun ini,” katanya.
Sementara itu, bagi perbandingan bulan ke bulan, Perodua telah mendaftar 28,995 unit kenderaan pada September 2023, kenaikan sebanyak 17.7 peratus daripada 24,626 pada September 2022.
Manakala dalam aspek pengeluaran, jenama nasional itu telah menghasilkan 31,447 kenderaan pada September 2023, peningkatan sebanyak 8.2 peratus daripada 29,077 unit pada September tahun lalu. -Edisi 9