27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

ST siasat insiden 2 beradik maut terkena renjatan elektrik

Orang ramai dinasihat supaya cakna dengan risiko renjatan elektrik daripada kebocoran arus yang berlaku.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Tenaga (ST) sedang menjalankan siasatan berhubung insiden kemalangan elektrik yang meragut dua nyawa di Kampung Teras Jernang, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan berkata, siasatan itu bagi mengenal pasti sekiranya berlaku kecuaian atau kesalahan oleh mana-mana pihak yang berkenaan.

“Sehubungan dengan itu, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994,” katanya.

Dalam masa sama, kenyataan itu turut menasihatkan orang ramai supaya cakna dengan risiko renjatan elektrik daripada kebocoran arus yang mungkin berlaku di sekitar kediaman.

“Orang ramai perlu memerhatikan persekitaran kediaman dan melaporkan segera kepada pihak utiliti bekalan elektrik sekiranya terdapat kejanggalan pada pepasangan elektrik seperti wayar servis elektrik terjuntai atau menyentuh bumbung rumah.

“Sekiranya ingin melakukan pengubahsuaian atau penyenggaraan rumah, beberapa langkah hendaklah dititikberatkan.

“Jangan usik atau mengalihkan mana-mana pepasangan utiliti. Hubungi pihak utiliti bekalan elektrik.

“Lantik kontraktor yang berdaftar dengan ST untuk menjalankan kerja-kerja pendawaian elektrik.

“Lantik orang kompeten yang berdaftar dengan ST untuk membuat pemeriksaan sistem pendawaian elektrik secara berkala dan membuat penggantian sekiranya perlu,” katanya.

Selain itu katanya, orang ramai boleh meminta Kad Pendaftaran Orang Kompeten (Competent Person Identification Card) untuk mendapatkan maklumat terus berkaitan status kekompetenan.

Menurut Suruhanjaya Tenaga, jika terdapat sebarang kemusykilan atau aduan mengenai perkara ini, hubungi ST melalui talian 03-8870 8800 atau e-mel ke [email protected].

“Layari laman web ST di www.st.gov.my untuk mendapatkan senarai orang kompeten elektrik berdaftar dan senarai kontraktor elektrik berdaftar,” katanya.

Dalam kejadian 1 Oktober lalu, dua beradik maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam besen di pekarangan kediaman mereka di Kampung Teras Jenang, Dengkil.

Mangsa dikenali sebagai Adam Haziq Zamri, 10, dan adiknya Adam Harish, 9. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan