SIKAP tidak mengendahkan pengurusan harta pusaka si mati, menyebabkan banyak harta pusaka yang tidak dituntut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, atas dasar itu, isu tidak mengurus tuntutan harta pusaka ini amatlah membimbangkan.
Menurutnya, antara masalah besar lain adalah tiada kesepakatan antara waris, sering berlaku perbalahan tentang hak masing-masing dan waris merasakan proses tuntutan harta pusaka rumit untuk diuruskan.
“Bermula pagi tadi hingga tengahari, saya dan JAKIM melalui Bahagian Penyelidikan menyusun satu perbincangan untuk mencari mekanisme terbaik memudahkan pengurusan harta pusaka di Malaysia.
“Saya mendengar dan mengamati setiap pembentangan daripada kesemua agensi berkenaan, pelbagai input dipersembahkan dalam memperkasakan dasar dan mengatasi isu-isu yang timbul dalam masyarakat kita hari ini.
“Mudah-mudahan perbincangan ini mencapai objektif yang digariskan seterusnya dapatan-dapatan yang diperoleh dapat dijadikan panduan oleh agensi kerajaan amnya dan masyarakat khususnya,” katanya dalam Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau berkongsikan perbincangan isu penting ini disertai oleh badan-badan bertanggungjawab iaitu Jabatan Ketua Pengarah, Tanah dan Galian (JKPTG), Amanah Raya Berhad (ARB), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Peguam Negara(AGC), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan(MSWP), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) serta ahli akademik.
“Tahniah diucapkan kepada Bahagian Penyelidikan JAKIM dan ribuan terima kasih kepada seluruh peserta yang terlibat dalam menyumbang buah fikiran bersama-sama kami,” katanya.
-EDISI9