27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

KPM cari pendekatan selesai isu kantin di sekolah padat

Tumpuan khusus adalah kepada sekolah yang mengalami peningkatan jumlah murid dan memiliki kantin yang kecil sepertimana sewaktu mula dibina dan beroperasi.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang mencari pendekatan untuk menyelesaikan isu kantin di sekolah dengan jumlah murid yang ramai, sehingga sesetengah sekolah terpaksa menjadualkan lima sesi waktu rehat.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan keadaan ini berlaku adalah peningkatan murid yang ketara sehingga sekolah mengalami kepadatan murid sedangkan kantin hanya mampu menampung jumlah murid yang kecil.

Menurut beliau, situasi tersebut terjadi kerana sekolah yang mengalami kepadatan murid tetapi kantinnya hanya mampu menampung kapasiti asal, yang ruangnya tidak ditingkatkan selari dengan peningkatan kapasiti murid.

“Ada sekolah sebab kantin tidak dapat memenuhi keperluan untuk menempatkan murid sewaktu masa rehat maka sesi rehat dilaksanakan antara tiga hingga lima kali, menyebabkan waktu rehat di sesetengah sekolah bermula terlalu awal pada pukul 8.30 pagi,” katanya dalam Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian sempena kunjungan beliau ke Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2).

“Ketika saya tiba, keadaan di kantin sekolah agak padat dengan murid tahun 5 dan 6 sedang menikmati makanan yang dibeli di kantin atau bekal yang dibawa dari rumah pada waktu rehat.

“Sekolah ini mempunyai 1,900 murid dengan tiga jadual waktu rehat. Sesi pertama adalah pada pukul 9.10 pagi.

Dalam hal ini menurut beliau, KPM sedang merangka satu penyelesaian menyeluruh untuk menangani situasi tersebut.

“Tumpuan khusus adalah kepada sekolah yang mengalami peningkatan jumlah murid dan memiliki kantin yang kecil sepertimana sewaktu mula dibina dan beroperasi.

“KPM akan ikhtiarkan yang terbaik demi memastikan persekitaran kantin yang lebih kondusif dan selesa untuk anak-anak kita, insyaAllah,” kongsinya.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan