PERTUBUHAN Perkumpulan Perempuan (WI) Pahang bakal menjadi tuan rumah Persidangan Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) Ke-30 tahun depan.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Tuanku Pengerusi WI Pahang bertitah, persidangan itu akan bermula 17 hingga 25 Mei 2023 di Putrajaya Marriot Hotel, Putrajaya.
Seri Paduka Baginda bertitah, ia dijangka dihadiri oleh 500 ahli ACWW dari seluruh dunia.
“Persidangan sepatutnya berlangsung di Pahang, tetapi oleh kerana saya di sini, ia dibawa ke sini (Kuala Lumpur) dan akan diadakan di Putrajaya Marriot Hotel, Sepang,” titah Seri Paduka Baginda dalam sidang media di Rumah Kelab, Istana Negara, lapor Harian Metro.
Untuk rekod, ACWW adalah satu pertubuhan antarabangsa ditubuhkan 1929 beribu pejabat di London, United Kingdom.
Ia mempunyai lebih sembilan juta ahli, 426 pertubuhan wanita dari 84 negara seluruh dunia.
Tuanku Azizah bertitah, WI Pahang sudah membida di Persidangan ACWW ke-28 di Warwick University UK dan di Persidangan ke-29 di Melbourne, Australia untuk menjadi tuan rumah Persidangan ACWW ke-30 di Malaysia.
Seri Paduka Baginda bertitah, sebagai syarat pengendalian tuan rumah dimestikan mengutamakan sebanyak mungkin kebudayaan Malaysia dalam program sampingan.
“Bagi memenuhi ketetapan menganjurkan lawatan sehari, WI Pahang merancang empat pakej yang sudah dikemukakan dan dipersetujui oleh Lembaga Pemegang Amanah ACWW.
“Lawatan tapak juga sudah dilakukan pada Januari 2022 oleh Presiden Dunia, Magdie De Kock, Timbalan Presiden Dunia, Alison Burnett, Pengarah Eksekutif ACWW, Tish Collins dan Pengarah Advokasi dan Komunikasinya, Nick Newland.
“Tempat lawatan sehari adalah Kompleks Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia di Gombak, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia di Kepong, Institut Kraf Negara, Rawang dan Universiti Multimedia Cyberjaya,” titahnya.
Seri Paduka Baginda bertitah, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka menyampaikan ucaptama pada persidangan itu.
Sebelum ini pada 5 Julai lalu, Tunku Azizah berkenan merasmikan Persidangan ke-13 Persatuan Wanita Desa Sedunia bagi kawasan Asia Tenggara dan Timur Jauh, di sebuah hotel di Sarawak.