33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

UMNO kekang ‘gunting dalam lipatan’ – Ahmad Zahid

Keputusan yang diambil itu adalah suatu penegasan oleh parti bahawa UMNO tidak pernah berkisar tentang individu sebaliknya mengenai rakyat dan negara.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEPUTUSAN UMNO memecat dan menggantung keahlian beberapa ahlinya dibuat secara kolektif dan musyawarah demi kepentingan parti semata-mata, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, tiada mana-mana individu berkepentingan di sebalik keputusan tersebut malah ia adalah tindakan yang diputuskan bersama demi kemaslahatan UMNO.

“Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kemuafakatan, kebersamaan serta perpaduan UMNO bergerak sehati sejiwa perlu diperkasakan.

“Sebarang anasir yang boleh memecah-belah atau mengganggu-gugat ditangani sebaik mungkin dengan respons (maklum balas) sewajarnya.

“Ia termasuk anasir dalaman yang berusaha memburuk-burukkan institusi kepimpinan parti yang menjadi benteng kepada perjuangan UMNO,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, jika institusi kepimpinan parti dilemahkan dengan anasir dalaman yang merekayasa dakyah dan tohmahan tentunya ia akan merosakkan keharmonian.

“Bukan sahaja UMNO, malah badan politik lain juga melakukan tindakan yang sama bagi memastikan institusi kepimpinannya dihormati.

“Seperti saya katakan kini bukan masa untuk menoleh. UMNO telah mengambil tindakan dan keputusan bersama demi kepentingan parti ini,” katanya.

Beliau berkata, keputusan yang diambil itu adalah suatu penegasan oleh parti bahawa UMNO tidak pernah berkisar tentang individu sebaliknya mengenai rakyat dan negara.

“UMNO sebuah perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Kesilapan lalu tidak boleh berulang. ‘Gunting dalam lipatan’ perlu dikekang.

“Gerak kerja PRU-15 menjadi fokus utama sehingga tiba tarikh penting itu. UMNO akan terus mara demi rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan UMNO telah menggantung keahlian bekas Ahli Majlis Kerja tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun.

Turut digantung keahliannya ialah Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail manakala seorang aktiviti politik, Datuk Zaharin Mohd Yassin pula dipecat daripada parti itu. – Edisi 9

Terkini

Isu kalimah Allah tidak boleh dipandang remeh – Tunku Ismail

ISU kalimah Allah pada stoking yang dijual oleh rangkaian kedai serbaneka tidak boleh dipandang remeh, titah Pemangku Sultan Johor,...

Lagi Artikel Berkaitan