30.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 20, 2024

Ismail Sabri ucap tahniah kepada Rishi Sunak

Surat ucapan kepada Perdana Menteri baharu UK itu disampaikan dalam bahasa Melayu.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada Rishi Sunak atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Britain yang baharu.

Ismail Sabri menerusi satu perkongsian di laman Facebook berkata, beliau berharap agar hubungan dua hala bersama United Kingdom (UK) akan terus terjalin untuk meraih potensi hubungan kedua-dua negara.

“Tahniah @RishiSunak di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri United Kingdom. Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan TYT (Tuan Yang Terutama) untuk meraih potensi hubungan kedua-dua negara. 

“Saya yakin, dengan dedikasi dan kepimpinan TYT, kerjasama sedia ada ini akan terus diperkukuh,” kata beliau menerusi media sosialnya malam ini.

Dalam satu surat yang diutus kepada Rishi, Ismail Sabri turut mengimbau hubungan erat kedua-dua negara yang telah terjalin lebih 65 tahun yang lalu.

Sehubungan itu, Ismail Sabri amat berbesar hati dengan pencapaian yang telah dikecapi setakat ini.

“Malaysia dan UK telah menikmati hubungan yang mesra dan produktif, disokong oleh kerjasama dalam pelbagai aspek serta saling menguntungkan, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

“Tambahan pula, hubungan kedua-dua negara yang akrab, sejarah dan aspirasi bersama sememangnya telah membawa manfaat yang amat besar kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Ismail Sabri berharap dapat bekerjasama rapat dengan Sunak untuk meraih potensi hubungan kedua-dua negara.

Advertisements

“Saya yakin, dengan dedikasi dan kepimpinan Tuan Yang Terutama, kerjasama sedia ada ini akan terus diperkukuh.

“Saya juga mengambil kesempatan ini mendoakan Tuan Yang Terutama (Rishi Sunak) diberikan kesihatan dan kebahagiaan yang berterusan, dan buat rakyat United Kingdom, semoga akan terus menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

Sunak, 42, bekas Ahli Kabinet Boris Johnson ialah Perdana Menteri ketiga Britain dalam tempoh tujuh minggu serta orang bukan kulit putih pertama memegang jawatan tertinggi.

Pengganti Johnson, Liz Truss merupakan Perdana Menteri paling singkat berkhidmat dengan meletak jawatan selepas 45 hari menerajui pentadbiran.

Dilahirkan di Southampton, England, Sunak dilantik sebagai ketua Parti Konservatif semalam selepas saingannya, Penny Mordaunt menarik diri.

Ibu bapanya berketurunan Asia Selatan dan dilahirkan di Afrika Timur.

Beliau pernah bekerja di bank pelaburan Amerika iaitu Goldman Sachs.

Sunak bertemu isterinya Akshata Murthy di Amerika Syarikat (AS) dan memiliki dua cahaya mata hasil perkahwinan mereka pada 2009.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Akmal kekal luar Kabinet selagi UMNO belum dapat kepercayaan

KETUA Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berpendirian untuk terus kekal berada di luar Kabinet selagi partinya belum mendapat kepercayaan...

Lagi Artikel Berkaitan