25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Bekas pelajar kolej terlepas tali gantung, edar dadah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BEKAS pelajar kolej swasta terlepas tali gantung dalam rayuan terakhir selepas Mahkamah Persekutuan, hari ini, mengetepikan sabitan dan hukumannya bagi kesalahan mengedar dadah.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, melepas dan membebaskan V Sathya selepas membenarkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati bagi kesalahan itu.

Turut bersidang, Hakim Datuk P Nallini dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Dalam keputusan itu, Tengku Maimun berkata, tidak mengambil kira keterangan beramaran Sathya dan keterangan kakaknya oleh mahkamah telah mewujudkan prejudis material yang mengakibatkan salah laksana keadilan.

Beliau berkata, ini adalah percanggahan undang-undang bawah Seksyen 182A Kanun Prosedur Jenayah.

“Kami mendapati merit dalam rayuan itu. Mengenai keseluruhan bukti, kami mendapati sabitan itu tidak selamat dan oleh itu, kami membenarkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman,” katanya.

Sathya, 30, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 27 November 2017 selepas didapati bersalah mengedar dadah methamphetamine seberat 1.8 kilogram (kg) dan 2.2kg yang disorok dalam dua bagasi berdekatan terminal tambang murah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 26 September 2013.

Dia kemudian gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menyebabkan dia memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan atas alasan salah laksana keadilan.

Sathya diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, M Athimulan, Salim Bashir, Abdul Rashid Ismail, Low Wei Loke dan Kee Wei Lon manakala pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Ng Siew Wee.– BERNAMA

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan