26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

4 kes virus XBB dikesan di Malaysia

Penggunaan pelitup muka kini "amat digalakkan" walaupun ia kekal secara sukarela dan tiada paksaan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak empat kes COVID-19 yang dijangkiti virus XBB telah dikesan di Malaysia.

Menteri Kesihatan Sementara Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, empat kes berkenaan adalah dari Selangor dan Negeri Sembilan dan mereka yang dijangkiti berumur antara 25 hingga 51 tahun, dengan seorang pesakit COVID-19 berulang.

“Keempat-empat pesakit tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan tiada sejarah kontak dengan kes XBB,”katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kes berkenaan dikesan dibawah ujian penjujukan genom yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Berikutan itu, saya telah minta supaya banyak lagi kes penjujukan genom dilaksanakan.

“Satu sebab bilangan penjujukan genom sudah mula menurun kerana penjujukan genom sebenarnya hanya dapat dibuat dengan berkesan melalui ujian pengesanan RT-PCR, dan tahu bahawa ramai sudah tidak buat ujian tersebut, begitu juga di pintu-pintu masuk antarabangsa kerana kebanyakan menggunakan ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen).

“Sebab itu strategi dibincang bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk tingkatkan ujian RT-PCR yang boleh dihantar ke IMR untuk dilaksanakan penjujukan genom untuk dapati profile sub varian yang sedang merebak di Malaysia.

“Tetapi berdasarkan sempadan terbuka antara Malaysia – Singapura dan pengerakan manusia setiap hari dimana kita takrifkan sebagai satu zon epidemologi yang sama maka kita mengandaikan bahawa jangkitan trend peningkatan ini juga didorong kes sub varian XBB,”katanya yang turut memberitahu virus berkenaan pertama kali muncul di Singapura dan menjadi punca gelombang berlaku di negara itu beberapa minggu lalu.

Oleh demikian, Khairy berkata, penggunaan pelitup muka kini “amat digalakkan” walaupun ia kekal secara sukarela dan tiada paksaan.

“Ini ditambah dengan Malaysia sedang mengalami gelombang kecil jangkitan COVID-19, selepas peningkatan jumlah kes.

“Kerana itulah, terutamanya pada waktu pilihan raya, kalau hadir program melibatkan orang ramai terutamanya di kawasan tertutup, sesak dan ceramah politik, amat digalakkan pakai pelitup muka.

“KKM juga sudah maklum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ada sekatan aktiviti dan boleh diadakan ceramah besar-besaran.

“Pakailah pelitup muka untuk keselamatan diri anda. Kedua, amalkan MySJ Trance dengan melaporkan setiap ujian. Ramai yang tidak lapor samada positif atau negatif dan dengan itu negara susah untuk mendapatkan gambaran sebenar kes COVID-19 di Malaysia.

“Kalau dapati positif pula, tanggungjawab individu tersebut perlulah asingkan diri di rumah dan lakukan ujian dalam hari ketiga dan bila tiada dua baris bolehlah keluar. Ini nasihat KKM,”katanya.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan rekod, antara 23 dan 29 Oktober, kes jangkitan baharu meningkat 16.5 peratus kepada 16,917 kes daripada 14,250 kes minggu sebelumnya.

“Bilangan pesakit di hospital juga meningkat sebanyak 14 peratus, bagi setiap 100,000 orang.

“Bagaimanapun, kita dapati dari segi kemasukan ke hospital kerajaan, paling ramai adalah dalam kalangan mereka yang mengalami simptom ringan.

“Penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pula hanya meningkat sebanyak dua peratus.

“Dalam erti kata lain, kita sedang berhadapan dengan gelombang kecil,” katanya sambil menambah kementerian tidak pasti sama ada gelombang itu akan bertambah buruk, dan semuanya bergantung kepada usaha masyarakat. – Edisi 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan