24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

1,000 buah rumah dibina menerusi projek PPR Bera

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

GOLONGAN berpendapatan rendah di Bera bakal menikmati kediaman baharu apabila sebanyak 1,000 buah rumah teres satu tingkat bakal dibina menerusi projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera.

Pengumuman itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis pecah tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera di Padang Kawad, Rejimen ke-34 Artileri Diraja (Kem Bera), hari ini.

Ismail Sabri berkata, Projek PPR Bera itu akan dibina di Bandar 34, dekat sini di atas tanah milik Kerajaan Negeri Pahang seluas 90 ekar.

“Walaupun projek PPR ini adalah khusus untuk golongan berpendapatan rendah, kerajaan sentiasa menitikberatkan keselesaan Keluarga Malaysia dengan memberikan penekanan kepada aspek saiz, reka bentuk, kualiti, lokasi dan harga rumah sentiasa diberi penekanan.

”Projek PPR Bera ini berkonsepkan kawasan kejiranan perumahan moden yang selesa dan selamat dengan setiap unit rumah berkeluasan 750 kaki persegi, dilengkapi tiga buah bilik tidur, dua buah bilik air, ruang tamu, ruang makan, dapur dan langkan (yard),” katanya.

Advertisements

Katanya, projek ini bagi memenuhi keperluan tempat kediaman bagi mereka yang berkelayakan dan berpendapatan rendah dan masih belum memiliki rumah.

Menurut Ismail Sabri, Projek PPR Bera ini merupakan projek baharu yang telah diluluskan pelaksanaannya di bawah peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.

Jelas beliau, pemberian subsidi bagi projek terbabit akan dibantu Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN), manakala Kerajaan Negeri Pahang pula akan menyediakan tanah.

Selain itu, katanya, kerajaan turut menyediakan 10 unit rumah berkenaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Projek ini membuktikan kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah,”katanya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan