25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Selepas NS dan Selangor, Pulau Pinang pula tarik gelaran Najib

Untuk rekod, Najib mempunyai sembilan darjah kebesaran dari Selangor, Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

YANG Dipertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersetuju menarik balik keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Zakuan Zakaria berkata, Najib dikurniakan keahlian D.U.P.N. yang membawa gelaran Datuk Seri Utama itu pada 2009.

“Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap beliau atas beberapa pertuduhan.

“Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang D.U.P.N. yang membawa gelaran Datuk Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan berkuat kuasa pada 15 September,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Mohd. Zakuan lagi, pembatalan dan pemansuhan keahlian Najib adalah selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011. 

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri yang dikurniakan kepada Najib pada 1992 dan 2004, berkuat kuasa 12 September lalu.

Lebih awal dari itu, pada 26 Oktober 2018, Istana Negeri Sembilan menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor berkuat kuasa serta-merta.

Untuk rekod, Najib mempunyai sembilan darjah kebesaran dari Selangor, Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Kini, Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat pertuduhan rasuah di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

-EDISI9

Terkini

Kolam selam tempur siap Jun, kalau tidak JKR jawab – MB

KOLAM selam tempur di Kem Iskandar, Mersing dijangka siap pada Jun ini, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz...

Lagi Artikel Berkaitan