TIDAK salah sekiranya gelaran Tan Sri diberi kepada veteran DAP, Lim Kit Siang,”kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.
Jelas beliau, sekiranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang boleh menerima gelaran tersebut, Kit Siang boleh juga menerima gelaran tersebut selaku bekas Ketua Pembangkang.
“Banyak bertanya saya apa komen saya tentang Kit Siang bakal dianugerah gelaran Tan Sri. Jawapan saya mudah, tdak salah diberikan gelaran yang sama selepas berpuluh tahun berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.
“Tokey judi dan Ahli Koprat pun banyak dapat Tan Sri,”katanya menerusi hantaran di Facebook di sini.

Katanya, beliau masih ingat dulu, pemimpin DAP dikecam kerana keengganan mereka memakai songkok dan menerima pingat kebesaran.
“Alhamdulillah, akhirnya hari ini Kit Siang sendiri umpama ‘tunduk’ tanda hormat kepada institusi utama umat Melayu, YDP Agong,”katanya.
Ujarnya, Kerajaan Perpaduan nampaknya bukan hanya dapat menyuburkan rasa hormat pemimpin baru DAP terhadap apa yang terkandung dalam Perlembagaan negara, namun ianya juga dapat mengubah kepimpinan lama DAP.
Hari ini tersebar gambar Kit Siang memakai songkok dipercayai ketika raptai bagi menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke-64 esok.
Menurut laporan, Kit Siang, 82 akan menjadi pemimpin DAP pertama yang dianugerahkan gelaran tersebut.- Edisi 9