25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rayuan pengampunan Najib ditangguh

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KERTAS rayuan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bersidang pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kertas permohonan berkenan akan dipertimbangkan pada masa depan.

“Urusetia Lembaga Pengampunan juga ingin memaklumkan bahawa kertas rayuan pengampunan Najib tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ini.

“Sebaliknya, kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, itu sebagaimana kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu beliau berkata, Lembaga Pengampunan telah mempertimbangkan sebanyak 10 kes rayuan pengampunan di bawah Peraturan 54 dan Peraturan 113 Akta Penjara 2000.

“Mengikut Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu negeri pula berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negeri-negeri tersebut,” ujarnya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan